Wednesday, August 27, 2014

ISU GEJALA MAT REMPIT






PENGENALAN
Gejala ‘mat rempit’ bukanlah merupakan satu gejala yang baru. Malah, gejala sebegini telah lama wujud dan kedengaran hangat diperkatakan di dalam media elektronik mahupun media cetak. Gejala ini sudah semakin merebak dan telah menjadi lumrah dengan penglibatan masyarakat tanpa mengira batas umur dan bangsa. Gejala merempit yang semakin menular dan menjadi-jadi dalam kalangan remaja serta sikap remaja yang semakin mengganas telah membuatkan panggilan ‘mat rempit’ tidak lagi digunakan. Sebaliknya, kini panggilan tersebut telah ditukarkan kepada panggilan ‘samseng jalanan’. Trend menunjukkan aksi menunggang motosikal di jalan raya dengan pelbagai bentuk gaya oleh remaja dan belia khususnya sehingga mendatangkan kecelakaan perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana ia akan menjadi gejala sosial yang sukar dirawat. Aksi samseng jalanan yang berbahaya akan menyebabkan nyawa pengguna jalanraya lain berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Antara aksi-aksi berbahaya yang biasanya dilakukan oleh golongan mat rempit ini ialah:
• Wheelie – menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan.
• Wikang – menunggang sambil mengangkat tayar di bahagian belakang.
• Scorpion – menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas.
• Superman – menunggang laju sambil terbaring seperti aksi superhero, Superman sedang terbang.
• Pereng/corner – bahagian meletak kaki bergesel di jalan raya ketika menunggang di selekoh.


PUNCA
1. Pengaruh rakan sebaya.
Pengaruh rakan sebaya banyak memainkan peranan dalam menentukan pemilihan aktiviti yang gemar dilakukan oleh kelompok remaja ini. Remaja akan mengikuti apa-apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Bagi mereka, rakan-rakan adalah segala-segalanya. Ketiadaan rakan-rakan menyebabkan remaja berasakan diri mereka tersisih. Oleh itu, remaja sanggup mengikuti rakan-rakan yang tidak bermoral dan tidak sekepala dengan mereka asalkan mereka tidak dipulaukan.

2. Mengejar keseronokan.
Remaja merempit untuk mencari keseronokan bagi mendapatkan kepuasan, kemasyhuran, wang dan juga perempuan. Kepuasan dan keseronokan yang mereka kecapi adalah untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Malah, mereka menganggap mereka akan menjadi perhatian umum apabila mereka menunjukkan aksi-aksi yang berbahaya di jalan raya. Mereka berasa bangga dan puas apabila mempamerkan aksi-aksi yang berbahaya di khalayak ramai.

3. Kurang didikan agama.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak bagi menjadi seorang manusia yang berguna dan berakhlak mulia. Apabila kurangnya didikan agama, maka anak-anak mudah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak bermoral. Hal ini kerana, pegangan agama yang kurang menyebabkan mereka tidak dapat menilai adakah sesuatu perkara yang mereka lakukan salah disisi agama ataupun tidak.

4. Desakan naluri.
Oleh sebab desakan naluri, remaja suka mencuba dan tidak takut pada risiko yang bakal ditempuh. Mereka berani melakukan apa-apa sahaja yang dirasakan seronok dan menghiburkan perasaan walaupun perkara tersebut berbahaya. Remaja mudah berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media. Bagi memuaskan nafsu, remaja berani mempertaruhkan nyawa untuk melakukan sesuatu perkara yang mereka sukai dan mencabar.

5. Cara hidup.
Melalui cara hidup remaja itu sendiri juga mendorong gejala ini berlaku. Kebanyakan remaja berpendidikan rendah lebih cenderung melibatkan diri dalam kancah lumba haram ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki tahap pemikiran yang sama apatah lagi sekiranya masing-masing sentiasa memberikan galakan dan semangat berbaur negatif antara satu sama lain. Mereka bangga dan seronok dengan pujian serta cuba menarik perhatian orang lain.

6. Kurang kasih sayang ibu bapa.
Ibu bapa yang sering sibuk dengan kerjaya masing-masing menyebabkan anak-anak kurang kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Remaja akan berasa bahawa diri mereka tidak disayangi. Oleh yang demikian, remaja mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama-sama rakan sebaya yang lain seterusnya melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti merempit.

KESAN
1. Dari segi sosial.
Pembangunan sosial semakin terencat kerana kegiatan rempit ini mengancam ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Banyak rungutan yang dapat kita dengar dari penghuni-penghuni rumah taman tentang bunyi enjin motosikal yang kuat dan mengganggu mereka beristirehat. Malah, golongan ini juga sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah ataupun digelar juga sebagai ‘mat gian’. Kesan daripada kedua-dua gejala ini membawa kepada kes-kes lain seperti mencuri, pecah rumah, ragut dan lain-lain. Namun, apa yang paling membimbangkan adalah konsep pertaruhan anak-anak gadis sebagai hadiah dalam perlawanan haram tersebut. Anak-anak gadis ini sanggup menggadaikan maruah untuk menjadi pembonceng kepada teman lelaki mereka yang merupakan ahli kumpulan mat rempit. Situasi ini juga akan membawa kepada masalah lain seperti pembuangan bayi, anak luar nikah dan pelbagai penyakit membunuh seperti AIDS.

2. Dari segi ekonomi.
Mat rempit sering mensia-siakan waktu muda mereka yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing. Tetapi peluang kemakmuran dan kemajuan negara dimanfaatkan oleh rakyat asing lantaran kerana anak negeri sendiri tidak berminat untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya perkembangan yang tidak sihat ini semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal, keadaan akan menjadi semakin sukar. Hal ini kerana, rata-rata mat rempit adalah mereka yang masih dalam usia remaja. Bahkan sebahagiannya masih di bangku sekolah. Mereka masih bergantung kepada kewangan ibu bapa masing-masing. Untuk menyertai lumba haram ini mereka memerlukan wang yang banyak khususnya untuk pengubahsuaian dan membeli alat ganti motosikal, kos petrol serta wang pertaruhan. Bagi sesetangah remaja yang terlibat dengan dadah memerlukan wang yang lebih lagi. Oleh sebab itu, apabila mereka terdesak untuk mendapatkan duit, mereka mula memeras ugut, meragut dan mencuri yang pastinya akan merugikan ekonomi negara kita.

3. Dari segi politik.
Generasi masa muda sekarang merupakan tunggak pucuk pimpinan pada masa hadapan. Namun, apabila berlakunya gejala seperti ini secara berleluasa masih adakah golongan yang masih mampu memimpin negara kita yang tercinta ini pada masa hadapan? Hal ini menjadi persoalan masyarakat kita sekarang. Kita perlukan anak pemuda yang berani. Akan tetapi, keberanian itu perlu diletakkan pada tempatnya. Kita tidak mahu mereka yang berani mempertaruhkan nyawa di atas jalan raya yang akhirnya memberikan kerugian kepada bangsa, agama dan negara. Lantas bilangan masyarakat yang berkarisma dan berkepimpinan semakin berkurangan. Tenaga kerja dan sumber manusia juga semakin sedikit. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka menjadi kaum yang terpinggir dalam urusan kemodenan dan kemajuan di tanah air sendiri.

LANGKAH MENGATASI
1. Perhatian yang secukupnya.
Remaja perlu diberikan perhatian yang secukupnya oleh ibu bapa supaya mereka berasa diri mereka dihargai. Malah ibu bapa juga perlulah meluangkan masa yang banyak kepada anak-anak dengan berbual dengan mereka, mendengar luahan serta rintihan hati mereka.

2. Penguatkuasaan undang-undang.
Penguatkuasaan undang-undang memang perlu dalam usaha menangani gejala ini daripada terus berlarutan. Jangan sekali-kali membiarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan hukuman yang bakal dikenakan kepada mereka. Malah, hukuman kepada pesalah perlulah ditambah bagi membuatkan mereka yang terlibat takut untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

3. Motivasi dan kaunseling.
Perkara ini adalah diperlukan untuk membantu membendung masalah sosial ini. Kita tidak seharusnya member tekanan kepada mereka kerana zaman remaja sememangnya penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian di samping pengiktirafan golongan dewasa. Masyarakat perlu berinteraksi secara matang dengan golongan remaja sebegini agar mereka tidak berasakan diri mereka diperlakukan seperti budak kecil.

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN TELEKOMUNIKASI

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
  • Pemerolehan , penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan tele-komunikasi 
  • Senn menyatakan teknologi maklumat dan komunikasi mengandungi tiga komponen iaitu komputer, komunikasi dan tahu-guna 
  • Gabungan ketiga-tiga komponen ini mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya.

MAKSUD TEKNOLOGI
  • Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. 
  • Boleh dikatakan pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan aksesori menggunakan prinsip sains dan proses terkini. 
  • Teknologi digunakan dalam bidang ekonomi, yakni teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki.

HUBUNGAN TEKNOLOGI DENGAN MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
  • Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. 
  • Secara tepat dan mudah dapat dikatakan sebagai penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
  • Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) wujud berdasarkan perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang mikroelektronik yang menghasilkan kemudahan teknologi seperti komputer meja dan komputer riba, jaringan internet, e-mel, laman sesawang dan sebagainya. 
  • Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) pada peringkat antarabangsa. 
  • Namun demikian, Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga mampu menggalas tanggungjawab penting untuk menyebarkan ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kepada masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Hubungan bahasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi
  • Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi sesama masyarakat . 
  • Komunikasi ini dilakukan secara meluas, baik secara rasmi atau tidak rasmi. 
  • Masyarakat pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) berkait secara langsung dengan kemampuan menjana idea, kreativiti dan inovasi bagi memantapkan penggunaan Bahasa Melayu.

Kesantunan berbahasa dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi

  • Kesantunan berbahasa semakin luntur dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Pada era ledakan teknologi ini, keutamaan tidak diberikan lagi kepada kesantunan berbahasa. 
  • Penggunaan bahasa yang suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek dan merendahkan orang lain sedang berleluasa. Perkara ini jelas menunjukkan penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa selain menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif.
CONTOH :

  • Kemunculan jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, Youtube, Google dan banyak lagi menjejaskan kesantunan berbahasa.



  • Hal ini kerana , penyakit menggunakan kata-kata sapaan atau kata-kata panggilan yang kasar yang dikatakan kurang sopan kini telah menjadi kebiasaan dalam kalangan pengguna IT.
  • Mereka membahasakan orang yang lebih tua atau lebih berpangkat daripada mereka dengan kata ganti “awak”, “engkau”, “kamu” yang sememangnya jika dilihat dari konsep kesantunan bahasa Melayu, dianggap sebagai kurang sopan, kasar dan biadab. 
  • Seharusnya, kata ganti nama yang halus dan bersopan seperti “pak cik”, “mak cik”, “saudara”, “saudari”, “anda”, “tuan” dan “puan” wajar dipraktikkan dalam perbualan seharian sama ada dalam alam maya seperti Facebook mahupun perbualan di alam realiti.
  • Selain itu,kelahiran bahasa rojak akibat perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.
  • Pengguna suka mencampuradukkan bahasa melayu dan bahasa inggeris.

CONTOH :

  • Memperlihatkan unsur bahasa yang unik dan tersendiri yakni Bahasa Melayu internet
  • Muncul perkataan seperti:
a. kang (nanti)
b. a’kum (assalamualaikum)
c. tipon (telefon)
d. persal (mengapa)
e. nko (engkau) 

ISU-ISU KESANTUNAN DALAM 
MASYARAKAT MALAYSIA

  • Para remaja tidak menghormati orang tua. Mereka tidak memanggil orang tua dengan gelarannya. 
  • Hal ini mungkin disebabkan oleh terlalu terdedah dengan drama-drama Inggeris dan tayangan di televisyen terbitan orang barat. 
  • Dalam konteks ini , teknologi maklumat memainkan peranan yang penting mempengaruhi orang ramai melupakan budaya sendiri.
  • Generasi hari ini banyak menggunakan bahasa singkatan untuk komunikasi . 
  • Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menyumbang kepada penggunaan perkataan singkatan dengan meluas. 
CONTOH: 
  1. Penggunaan ‘’aq’’ disamping ‘’aku’’. 
  2. Penggunaan ‘’cyg’’ disamping ‘’ sayang’’. 
  3. Hal ini banyak mempengaruhi penulisan dalam urusan rasmi.

CONTOH-CONTOH ALAT ICT YANG DISALAHGUNAKAN  PADA ZAMAN INI YANG MENJEJASKAN KESANTUNAN

Jenayah siber

  • Menurut kajian yang dilakukan oleh Mazlan Osman dan Amri Abdul Rahman dari UiTM, jenayah siber merujuk kepada aktiviti jenayah yang berkaitan dengan teknologi dan komputer menerusi Internet. 
  • Menurut kajian tersebut juga, pengguna Internet melakukan pelbagai jenis jenayah siber seperti penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian ke atas program atau data komputer, kecurian maklumat, capaian secara tidak sah ke atas sistem, menyalin perisian secara tidak sah, pengintipan, judi siber, skim cepat kaya, pornografi, penggodam, penyebaran virus dan mel spam. 
  • Untuk mengenalpastikadar jenayah siber di Malaysia, Berita Harian Online (22 May 2012) telah melaporkan bahawa kadar jenayah siber telah meningkat sehingga 88 peratus pada tahun 2011 berbanding dengan pada tahun yang sebelumnya yang hanya mencatat 8090 kes jenayah siber.

Penggodam maklumat 

  • Penggodam dan pengganas siber yang bersikap sesuka hati juga memusnahkan data dan mengubah sistem komputer 
  • Mereka juga boleh menggunakan internet untuk mencuri maklumat sulit yang dimiliki oleh individu, syarikat dan organisasi dan memperoleh keuntungan melalui cara penjualan kepada pihak pesaing. 
  • Tambahan pula, ancaman siber itu bukan saja berlaku ke atas laman web kerajaan kita seperti www.malaysia.gov.my. , manakala laman web milik Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat turut diserang oleh penggodam (Berita Harian Online,17 June 2011)

Bahan-bahan pornografi 

  • Kewujudan internet yang akibat daripada perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan bahan pornografi tersebar dengan cepat. 
  • Selain internet, amalan menonton video lucah dalam kalangan belia juga didorongi oleh filem-filem dan program-program televisyen yang mengandungi unsur-unsur lucah atau erotik.

Kewujudan budaya plagiarism 

  • Sebagai contoh, golongan belia telah menyalahgunakan teknologi sebagai satu cara untuk memudahkan dan menyiapkan kerja sekolah dan assignment mereka dengan meniru, menciplak dan ‘copy dan paste’ maklumat dan hasil kerja orang lain melalui internet. 
  • Hal ini bukan sahaja menjejaskan amalan kesantunan malah ini juga akan mengakibatkan individu yang terlibat tidak melakukan sesuatu tugas dengan hasilnya sendiri. 
  • Kewujudan teknologi internet telah mempengaruhi budaya ilmu dalam kalangan belia, iaitu dari mengambil buku rujukan akademik atau jurnal sebagai rujukan untuk mendapatkan maklumat dalam persiapan tugasan mereka kepada menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat dan sumber-sumber untuk menyiapkan tugasan mereka.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU KESANTUNAN BERBAHASA DALAM TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI


Peranan institusi keluarga 
  • Mempraktikkan gaya pertuturan atau perbualan yang sopan dan teratur. 
  • Perlu tegas dalam mendidik anak-anak mereka. Hal ini demikian agar generasi muda ini alpa dengan disiplin dan pertuturan bahasa yang sopan tidak kira di mana mereka berada terutamanya ketika menggunakan laman sosial.

Peranan pihak sekolah 
  • Memantau para pelajar dari segi tingkah laku mereka, malahan peradaban mereka terutama sekali dari segi pertuturan yang diucapkan semasa mereka berada di dalam dan luar sekolah.
  • Menganjurkan kempen-kempen yang berkaitan dengan budi bahasa untuk diterapkan oleh mereka. 
  • Menerapkan penggunaan bahasa yang santun dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

ISU GEJALA SOSIAL

ISU GEJALA SOSIAL

MAKSUD GEJALA SOSIAL
  • Gejala bermaksud tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat atau petanda. Menurut kamus, padanan yang kerap diberikan kepada perkataan gejala ialah petanda yang membawa kepada berlakunya masalah. 
  • Sosial pula merujuk kepada hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat atau kemasyarakatan. 
  • Gejala sosial ialah tanda-tanda atau alamat tentang perihal masyarakat, kemasyarakatan atau hal yang berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti pada masa lapang.

GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

PERGAULAN BEBAS
  • Dari segi bahasa, pergaulan bererti proses bergaul, manakala bebas bermaksud terlepas daripada ikatan. 
  • Pergaulan bebas membawa maksud proses bergaul dengan orang lain yang terlepas daripada ikatan pergaulan, biasanya melibatkan perhubungan antara lelaki dan perempuan.

PENYALAHGUNAAN DADAH
  • Penyalahgunaan dadah melibatkan penggunaan dadah secara berlebihan yang membawa kepada ketagihan. 
  • Penggunaan dadah secara berlebihan akan mendatangkan perasaan gembira yang tidak terhingga. 
  • Ketagihan dadah turut bertujuan melarikan diri daripada kenyataan. 
  • Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penagih dadah lebih cenderung untuk menagih dadah secara berterusan.

PONTENG SEKOLAH
  • Ponteng ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. 
  • Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. 
  • Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam sehari.

PEMBUANGAN BAYI
  • Perkataan ‘membuang’ membawa maksud mencampakkan, menghapuskan dan menghilangkan. Perkataan ‘bayi’ bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu. 
  • Maksud ‘pembuangan bayi’ ialah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan.


VANDALISME
  • Vandalisme ialah tindakan jahat yang melibatkan perlakuan merosakkan harta benda awam seperti telefon awam dan menconteng pada tempat awam seperti tandas awam. 

MELEPAK
  • Maksud “lepak” ialah perbuatan bersiar-siar dan bersantai-santai. 
  • Ia dilakukan di tempat awam di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti di pasar raya, perhentian bas, kompleks beli belah dan sebagainya. 
  • Ia bukan sahaja merosakkan pandangan tetapi juga menganggu orang lain. 


GENGSTERISME
  • Gengsterisme boleh dikatakan sebagai aktiviti yang bersifat jenayah yang dijalankan oleh individu atau sekumpulan individu. 
  • Aktiviti gengsterisme termasuklah membuli, mencederakan mangsa, menyamun, memeras ugut dan bergerak dalam kumpulan serta mempunyai seorang ketua.


Punca-punca gejala sosial

Pengaruh Media Massa 
  • Masyarakat mudah terdedah kepada banyak maklumat - bukannya semua maklumat itu berunsur positif - belia yang bernaluri belum matang mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka. 
Pengaruh Internet 
  • Remaja mudah mengakses Internet - terdedah kepada maklumat yang menjurus ke arah pemikiran negatif.
Pengaruh Rakan Sebaya 
  • Ibu bapa sibuk dengan urusan kerja masing-masing - remaja lebih mesra dengan rakan mereka dan lebih mempercayai rakan berbanding dengan ahli keluarga atau ibu bapa - remaja mudah terikut-ikut dengan tindakan rakan sebaya. 
Pengaruh Artis 
  • Penyanyi dari negara Barat khususnya mempraktikkan amalan tidak sihat seperti minum arak dan menagih dadah - membawa remaja ke arah kemaksiatan dan keruntuhan moral.
Sikap Ibu Bapa 
  • Ibu bapa tidak prihatin terhadap sifat dan kelakuan anak-anak - ada sesetengah ibu bapa yang terlalu mengongkong anak -anak menyebabkan anak mereka mencari inisiatif lain untuk lari daripada kawalan ibu bapa. 
Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba 
  • Perkara baru akan mengundang perasaan ingin tahu dalam kalangan remaja. Remaja terdorong untuk mencuba disebabkan tiada panduan daripada ibu bapa.
Kurangnya Didikan Agama 
  • Remaja yang kekurangan didikan agama dikatakankapal tanpa nakhoda - mudah terpengaruh dengan budaya negatif - menginginkan kebebasan 
Sikap Masyarakat yang Tidak Mengambil Berat tentang Permasalahan Remaja 
  • Masyarakat tidak mahu dikatakan 'menjaga tepi kain orang’ - membiarkan tanggungjawab kepada pihak kerajaan sahaja -

Kesan-kesan gejala sosial

Terhadap individu sendiri 
  • Dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat.
Terhadap keluarga 
  • Mengakibatkan ketidakharmonian dalam kekeluargaan - berlakunya penceraian - maruah dan nama baik tercemar - keluarga menjadi porak-peranda dan berpecah-belah - perasaan buruk dan prasangka - sifat saling curiga-mencurigai antara ahli keluarga. 
Terhadap masyarakat 
  • Suasana hidup dalam masyarakat tidak lagi tenteram - perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat terjejas
Terhadap negara 
  • Kehilangan generasi dan pemimpin pada masa hadapan - pembangunan negara akan terbantut - keadaan ekonomi negara sukar untuk berkembang - kadar jenayah dalam negara meningkat - perbelanjaan kerajaan meningkat kerana bertambahnya kos nyata di negara –
  • Kos nyata termasuklah: 
  1. Kehilangan / kerugian pengurangan daya pengeluaran ekonomi. 
  2. Kos bagi menyediakan kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan untuk penagih dadah. 
  3. Kos bagi menyelenggarakan program-program pencegahan. 
  4. Kos kerugian akibat aktiviti jenayah yang berlaku. 
  5. Kos untuk meneruskan kegiatan penguatkuasaan seperti menambahkan bilangan anggota polis, kakitangan jabatan makamah, hospital dan sebagainya .

Cara mengatasi gejala sosial

1. Ibu Bapa Memberikan Didikan Agama Sejak Kecil 
  • Ibu bapa harus memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak kecil – membolehkan mereka membezakan betul atau salah sesuatu perkara - mendidik anak-anak bahawa terlibat dalam gejala sosial merupakan tindakan yang tidak betul. 
2. Ibu Bapa Memberikan Kasih Sayang Sepenuhnya Kepada Anak-anak 
  • Ibu bapa patut memberikan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak mereka - peka terhadap perubahan yang berlaku pada anak-anak.
3. Guru sebagai Kawan kepada Remaja 
  • Guru di sekolah harus bertindak bukan sahaja sebagai pembimbing akademik, malahan juga sebagai kawan kepada remaja - anak murid akan berjumpa dengan guru apabila menghadapi masalah. 
4. Penganjuran Kempen 
  • Pihak berkuasa harus kerap mengadakan kempen - menyedarkan para remaja tentang keburukan terlibat dalam gejala sosial.
5. Peranan Media Massa 
  • Media massa mesti mengawal penyiaran secara besar-besaran tentang keruntuhan akhlak remaja - perlu sering menonjolkan remaja yang baik - sebagai contoh untuk diteladani.

ISU SIKAP IBU BAPA DAN MASYARAKAT

ISU SIKAP IBU BAPA DAN MASYARAKAT

Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, isu ibubapa dan masyarakat dalam kesantunan seperti mendera anak, merogol anak sendiri, membunuh anak sendiri dan lain-lain bukan sesuatu yang segar baru kepada kita lagi. Kita akan menemu setiap perkara ini boleh dikatakan hampir setiap kali kita membaca surat akhbar atau berita.

Contoh-contoh isu kesantunan ibu bapa

Dera anak perempuan 5 tahun separuh mati, reman ibu bapa dilanjut


IPOH – Perintah reman terhadap ibu bapa kanak-kanak berusia lima tahun yang disyaki didera dan kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, dilanjutkan tiga hari lagi sehingga Rabu.kes dera anak 

Perintah sambungan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Puteri Nor Dina Kamalaudin hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan. 

Lelaki dan wanita berusia 39 dan 30 tahun itu sebelum ini ditahan reman selama tiga hari sejak Sabtu lepas.

Sabtu lepas, media melaporkan pegawai perubatan HRPB membuat laporan polis selepas mengesyaki seorang kanak-kanak perempuan yang dihantar ke hospital itu adalah mangsa dera susulan penemuan kesan luka pada seluruh badannya. 

Berikutan itu polis menahan ibu bapa kanak-kanak terbabit yang berasal dari Menglembu.

Akhbar hari ini melaporkan keadaan kanak-kanak itu semakin kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat.

Ketua Polis Daerah Ipoj ACP Sum Chang Keong dilapor berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan jika sabit boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda. – Bernama


Dipetik daripada Berita Harian 2013/08/19


Ustazah biar suami rogol anak didakwa

KUALA LUMPUR: Seorang ustazah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 15 tahun di kediaman mereka, dua bulan lalu. 


Wanita berusia 33 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan hakim, Roszianayati Ahmad. 

Dia juga didakwa bersubahat bagi tuduhan ketiga memujuk mangsa sama dengan membenarkan suaminya mencabul kehormatan gadis itu di kediaman mereka sekitar Ampang, masa yang sama, pada Mac 2011. 

Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan serius dengan mengambil kira usia mangsa yang masih di bawah umur ketika kejadian selain menjaga keselamatan saksi pendakwaan terdiri daripada mangsa dan anak-anak wanita itu.

Roszianayati memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya perbicaraan kes itu dijalankan bersama dengan kes suaminya di hadapan hakim Manira Mohd Nor di Mahkamah Sesyen Ampang di sini. 

Sementara itu, suami ustazah berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam atas dua dakwaan merogol anak tirinya itu tanpa kerelaannya dan melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa, pada masa dan tempat yang sama. 

Pendakwaan yang diwakili Zuraini tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan sama sebelum Manira memutuskan lelaki itu tidak dibenarkan diikat jamin walaupun beliau merayu supaya mahkamah membenarkan telefon bimbitnya dikembalikan untuk menelefon penjamin. 

Mahkamah menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan bagi pasangan suami isteri itu melantik peguam. 

Dipetik daripada Berita Harian 2011/06/14


Ibu bapa bunuh anak sendiri, gagal cubaan bunuh diri


PETALING JAYA: Dua ibu bapa terselamat dalam dua cubaan bunuh diri. Walau bagaimanapun, seorang anak perempuan mereka berusia lima tahun meninggal dunia ketika pasangan itu cuba membunuh diri mereka sendiri serta dua anak mereka. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bapanya yang berusia lingkungan 50 tahun dan ibunya yang berusia 30-an cuba membunuh diri kali pertama pada 11 September di rumah mereka di Sri Manja Square, off Jalan Klang Lama di sini lapor Mstar. 

“Mereka membakar arang di dalam bilik tidur utama sebelum mereka sekeluarga masuk tidur tetapi tidak berjaya,” katanya.

Keesokan harinya, pasangan ibu bapa itu cuba membunuh diri lagi. Kali ini mereka berjaya membunuh anak perempuan mereka. 

“Anak perempuan mereka itu dipercayai meninggal dunia semasa percubaan kali kedua,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada Rabu.

Arjunaidi berkata pasangan itu membawa mayat anak perempuan mereka ke Klang bagi mencari tempat untuk melupuskannya pada 13 September.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa membawa balik mayat ke rumah mereka apabila mereka tidak dapat mencari tempat yang sesuai.

Pada pagi Rabu, mayat anak perempuannya itu ditemui selepas guru tadikanya memberitahu ibu bapa kepada rakan sekelasnya untuk memeriksa muridnya yang tidak hadir ke sekolah selama lima hari. 

“Ibu bapa rakan sekelas dan anaknya lelakinya pergi ke apartmen dan menekan loceng tetapi tidak ada yang menjawab,” kata Choo, yang merupakan seorang pemilik kedai di Sri Manja Square.

“Anak lelaki pasangan yang cuba membunuh diri berusia tujuh tahun membuka pintu dan memberitahu mereka bahawa kakaknya telah mati. Mereka kemudian mendapati kanak-kanak perempuan itu mati di bilik tidur utama.”

Ibu bapa rakan sekelas kemudiannya menghubungi polis. “Siasatan awal menunjukkan bahawa keluarga itu menghadapi masalah kewangan. Bapa, yang merupakan seorang kontraktor sudah tidak berkerja hampir sebulan,” katanya, sambil menambah polis juga menemui wayar kabel di rumah itu.

“Kami percaya mereka juga merancang untuk menggantung diri mereka tetapi kami masih menyiasat,” katanya.

Arjunaidi berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala abangnya telah dihantar kepada saudara. Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dipetik daripada Berita Harian 2013/09/18


Ibu pelajar tampar guru



KANGAR - Sesi menjernihkan keadaan antara pihak sekolah dengan penjaga kepada seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini bertukar tegang apabila seorang ibu 'naik angin' dengan menampar seorang guru sekolah itu kelmarin. 
Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku di bilik pengetua sekolah berkenaan selepas ibu pelajar tersebut gagal menahan emosi lalu menampar pipi guru lelaki berusia 26 tahun tersebut. 
Difahamkan, sehari sebelum itu, guru Matematik tersebut didakwa telah menampar pelajar terbabit selepas mendapati dia membuat bising di luar kelas sehingga mengganggu pelajar lain. 
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, wanita berusia 40-an tersebut mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya selepas pulang dari sekolah. 
Dipetik daripada Kosmo


Contoh-contoh isu kesantunan masyarakat

Penduduk Taman Medan kecewa masih ada pihak buang bahan buangan di bekas lombong 

PETALING JAYA: Penduduk di Taman Medan di sini kecewa kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari yang dikatakan berpunca daripada pembuangan sampah di sebuah kawasan bekas lombong yang dalam proses penutupan, berhampiran kediaman mereka.
Sampah-sarap terbabit dibawa masuk oleh berpuluh lori mengangkut sampah untuk dilonggokkan di kawasan itu setiap hari. 
Penduduk, Megat Ahmad Tirmidzi Megat Abdul Latiff, 48, berkata apa yang menyakitkan hati ialah sisa buangan itu bukan setakat datang dari sekitar Petaling Jaya, malah turut memuatkan sampah-sarap dari beberapa lokasi di pinggir Kuala Lumpur seperti Jalan Klang Lama, Taman Desa, Salak Selatan, Taman Overseas Union Garden (OUG) dan Jalan Kuchai Lama. 
“Kami sudah lama bersabar kerana setiap hari kami menghidu bau sampah yang amat busuk. Lebih teruk, ada anak kecil kami sakit akibat tiada selera makan. 
Ada pihak berkuasa tempatan (PBT) pun macam tiada saja.


“Apakah mereka ingat Taman Medan lokasi pembuangan sampah besar-besaran? Tapak lombong ini sudah hampir 85 peratus ditutup tetapi mengapa masih terus dilonggokkan sampah yang tinggi menggunung di atas sebuah kawasan tanah rata berhampiran lombong.
“Ini tidak masuk akal. Kami bimbang masalah ini jika dibiarkan, akan menjadi ‘nanah’ kepada kami. Ketinggian sampah-sarap semakin bertambah sehingga melebihi ketinggian sebuah rumah dua tingkat,” katanya ketika ditemui Sentral di sini.

Operasi pembuangan sampah itu dilakukan di kawasan yang letaknya kira-kira beberapa meter saja dari Taman Buana, Taman Indah Jaya dan Taman Datuk Harun di sini.
Megat Ahmad Tirmidzi berkata, pihak persatuan penduduk kawasan itu sudah membuat aduan beberapa kali kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), namun sehingga kini usaha mereka seperti ‘anjing menyalak bukit’.

Katanya, bau busuk itu dapat dihidu di beberapa sekolah di sini seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Datuk Harun dan Sekolah Menengah (SM) Taman Medan sehingga mengganggu pelajaran pelajar.

Sentral yang meninjau kawasan pembuangan sampah yang berkeluasan kira-kira 19 hektar itu mendapati hampir 150 lori sampah keluar masuk ke kawasan itu dengan setiap lori dianggarkan mengangkut seberat tiga tan sampah.


Seorang lagi penduduk, Mohammad Badaruddin Mohammad Aminuddin, 37, mendakwa penduduk di kawasan kediaman di situ sering diganggu nyamuk dalam jumlah yang luar biasa sejak dua tahun lalu.

“Tidur malam kami sering diganggu nyamuk. Saya bimbang keselamatan anak kecil. Justeru, saya berharap agar satu tindakan drastik dapat dilakukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam menangani masalah ini,” katanya.

Beliau turut hairan bagaimana perkara itu boleh terlepas pandang sedangkan tapak pembuangan sampah itu begitu hampir dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan dan pejabat Ahli Majlis kawasan berkenaan.

Pandangan sama dikongsi jirannya, Mohammad Jazrizal Abdul Rahman, 35, yang mengadu anak perempuannya sering mengalami masalah kesihatan dan tiada selera makan sejak tahun lalu kerana tidak tahan dengan bau busuk dari tapak pembuangan sampah itu.

“Anak perempuan saya sering sakit dan gagal hadir ke sekolah kerana masalah ini. Saya cukup risau dengan masalah ini dan saya mendesak pihak berwajib segera ‘turun padang’ bagi menangani isu ini,” katanya. 
Dipetik daripada Berita Harian 2010/12/20



Cara-cara menangani isu ibubapa dan masyarakat dalam kesantunan

Kerajaan 

1)Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang. 
  • Ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam penjagaan anak mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim. 
2) Pihak kerajaan harus memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini yang disebabkan oleh keruntuhan kesantunan dan budi bahasa. Pihak kerajaan harus mengenakan hukuman yang bejat kepada mereka yang membuang sampah sesuka hati kerana hilang kesantunan dan budi bahasa. Sebagai contohnya, pihak kerajaan harus meningkatkan kompaun atas masalah pembuangan sampah-sarap secara sesuka hati ini. Selain itu, pihak kerajaan harus menjatuhkan hukuman penjara dan mencaci mereka yang membuang sampah-sarap secara sesuka hati supaya masyarakat akan melihat kebejatan masalah ini dan supaya mereka yang terjebak dalam masalah ini akan membuka mata dan balik ke pangkal jalan. 


Keluarga 
Mengawal emosi diri sendiri. 
Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak 
Sentiasa ambil tahu perkara mengenai anak-anak mereka sama ada di sekolah, di luar rumah ataupun di rumah 
Meluangkan masa menemani anak-anak mereka dan mendidik anak-anak mereka 
Memberi kasih saying kepada anak-anak mereka